Thursday, November 29, 2012

Rawatan

Jika ditanya apa cita-citaku waktu kecil, pasti jawapan "DOKTOR". Aku kurang pasti apa pemikiran aku ketika itu sehinggakan bersungguh-sungguh untuk menjadi doktor. Zaman sekolah rendah aku berusaha untuk menjadi terkenal di mata guru. Salah satu sebabnya aku mahu dipilih sebagai Doktor Muda. 

Pada tahun 2000, pertandingan Doktor Muda diperkenalkan di sekolah. Pertandingan ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada kerja-kerja amal atau boleh juga dipanggil sebagai duta sekolah dalam sudut kesihatan. Secara sedar tak sedar, aku dipilih mewakili sekolah ni peringkat daerah. Awesome! memang benda itu yang ku inginkan. Beberapa sekolah juga terlibat dalam pertandingan ni. Pelajar yang dipilih oleh sekolah akan melalui ujian saringan iaitu TEMUDUGA. Tapi nasib tidak menyebelahi, aku gagal dalam temuduga tersebut. Tapi takpe, aku ada tugas di sekolah. Sejak dari itu, aku mula menguruskan bilik sakit sekolah. Bilik sakit ini yang menempatkan pelajar yang kurang sihat semasa sesi persekolahan sebelum dibawa balik oleh ibu bapa. 

Niat murni untuk mengejar cita-cita sebagai doktor diteruskan lagi. Aku mula persiapkan diri dengan melibatkan diri dalam Persatuan Bulan Sabit Merah dan Kelab Kesihatan sekolah. Aku yakin dengan usaha ini, aku mampu menimba ilmu mengenai perubatan. 

Namun, pada Tingkatan 4 aku mulai rasa bidang perubatan tidak relevan dalam kehidupan ku. Keputusan subjek biologi menunjukkan betapa bencinya atau tidak minatnya terhadap bidang tersebut. Ketika Tingkatan 5, aku hanya mampu meraih gred B+ dalam subjek biologi untuk SPM. Memang langsung tidak layak untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan apatah lagi dalam bidang sains yang juga melibatkan kesihatan. Kadangkala aku cemburu buta terhadap rakan-rakan yang berjaya ke luar negara untuk berusaha menjadi doktor. 

Aku tekad. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Eh? Betul ke macam ni pepatahnya? 
Mungkin rezeki ku di tempat lain, bukannya untuk menjadi Dr. Affiqa Zairon. 

Sekarang, aku di tahun akhir Sarjana Muda Ukur Bahan iaitu bidang pembinaan. Berbeza sekali dengan impian ku ketika kecil. Jika bidang perubatan merawat manusia, di bidang ukur bahan aku merawat bangunan. Mungkin itulah persamaannya




Daisypath Anniversary tickers